Tuesday, November 4, 2008

EKZEMA

SOALAN:
ANAK saya berusia setahun lima bulan dan sejak lahir, dia menghidap ekzema. Meskipun saya dan suami bekerja, kami memastikan penjagaannya teliti sama ada luaran mahupun pemakanan.

Selama ini kami menggunakan krim pada kulitnya untuk membendung masalah terbabit. Adakah alternatif lain selain penggunaan krim?

Saya juga difahamkan, kanak-kanak ekzema berkecenderungan menghidap asma. Adakah perkara itu benar?

Ada yang mengatakan ekzema disebabkan faktor genetik dan pemakanan ketika ibu hamil. Menurut pandangan doktor, apakah punca sebenar ekzema? Adakah ekzema lazimnya dihidapi sepanjang hayat?

JAWAPAN:
EKZEMA sejenis penyakit kulit yang kerap dialami kanak-kanak terutama yang berusia kurang daripada tiga tahun.

Mengikut kajian di Amerika Syarikat, kira-kira 10 hingga 20 peratus bayi yang berumur kurang daripada setahun akan mengalami ekzema. Penyakit ini biasanya akan beransur pulih dengan sendiri mengikut umur antara lima hingga 15 tahun.

Bagaimanapun, sebahagian kecil daripada pesakit ini akan terus menghidap ekzema sepanjang hayat. Antara faktor yang menentukan sama ada pesakit akan terus menghidap ekzema sepanjang hayat ialah faktor genetik.

Ekzema boleh berlaku kepada kanak-kanak mahupun orang dewasa. Walaupun penyebab sebenar penyakit ini tidak diketahui, ia lebih kerap berlaku ke atas pesakit yang mempunyai riwayat alahan, resdung dan penyakit asma dalam keluarga terdekat.

Ekzema terhasil apabila berlaku tindak balas yang keterlaluan oleh sistem ketahanan badan terhadap bakteria yang biasanya berada di kulit atau tindak balas terhadap sesuatu bahan penyebab kerengsaan.

Sesiapa yang secara genetik mempunyai faktor alahan dan apabila terdedah kepada bahan pencetus yang berada di persekitaran mereka maka ekzema akan terhasil. Ekzema mempunyai kecenderungan untuk diwarisi dan ia bukan penyakit berjangkit.

Kebanyakan pesakit yang menghidap ekzema boleh menghidap penyakit resdung atau allergic rhinitis dan asma.

Penyakit ekzema adalah penyakit yang kronik, menyebabkan kegatalan pada kulit dan keterukan penyakit ini sentiasa berubah-ubah jika kulit terdedah dengan bahan alahan atau bersentuhan dengan permukaan kain kasar menyebabkan kulit menjadi gatal.

Selain itu, keadaan yang terlalu panas atau sejuk, terdedah kepada bahan seperti sabun, bahan pencuci atau bulu binatang boleh menyebabkan ekzema menyerang dan menjadi lebih serius.

Jangkitan virus juga boleh memburukkan keadaan ekzema. Faktor ini akan menyebabkan kegatalan pada kulit dan kanak-kanak akan menggaru kawasan yang ada ekzema ini. Kulit yang terdapat ekzema akan menjadi kering, menebal dan bersisik.

Ada makanan tertentu yang boleh menyebabkan ekzema menjadi lebih teruk. Jenis makanan ini adalah berbeza antara seorang dengan yang lain.

Makanan yang biasa dikaitkan termasuk susu lembu, telur, kekacang, makanan laut, buah-buahan berbiji, pewarna makanan dan monosodium glutamate (MSG).

Antara cara pencegahan ekzema daripada menjadi lebih teruk adalah dengan melembapkan kulit setiap masa sekerap mungkin, mengelak daripada perubahan kelembapan atau suhu mendadak serta elak daripada berpeluh atau terlalu panas.

Selain itu, kurangkan tekanan, elakkan penggunaan barangan atau pakaian kasar seperti kain bulu, elakkan penggunaan sabun yang keras, hindarkan diri daripada bahan pencetus lain yang dikenal pasti penyebab ekzema dan serangan asma serta hindari makanan yang menyebabkan alahan.

Masalah ekzema boleh dibendung dengan beberapa cara. Antara rawatan yang penting adalah untuk mengawal kegatalan pada kulit agar pesakit tidak menggaru dan melukakan bahagian kulit terbabit kerana ia akan menambahkan keterukannya.

Oleh kerana ekzema selalunya kering dan gatal, penggunaan krim dan losen amat digalakkan bagi melembapkan bahagian kulit terbabit. Krim atau losen ini harus disapu sebaik-baiknya dalam masa tiga minit selepas mandi bagi mengekalkan kelembapan kulit.

Penggunaan kain sejuk yang dilekapkan kepada kulit juga membantu mengurangkan gatal. Pengambilan ubat penahan gatal juga boleh dilakukan mengikut arahan doktor. Guna sabun mandi khas bagi pesakit yang mempunyai kulit kering dan ekzema yang ada di setiap kedai farmasi.

Sabun mandi biasa akan menyebabkan kulit mereka menjadi lebih kering. Jika keadaan ekzema tidak berkurangan, penggunaan krim atau oitment yang mengandungi steroid digalakkan bagi mengurangkan radang pada kulit. Bagaimanapun, penggunaan krim steroid ini bukan untuk jangka masa lama.

Ia hanya digunakan ketika keadaan berubah-ubah saja bagi mengelak kulit menjadi nipis. Penggunaan krim ini perlu terlebih dulu mendapat nasihat doktor. Kulit yang dijangkiti ekzema boleh dijangkiti kuman.

Jika ia terjadi, pemberian antibiotik diperlukan. Rawatan fototerapi boleh dilakukan bagi kes ekzema yang sangat teruk kerana memerlukan peralatan lampu khas.



Berikut adalah fakta mengenai ekzema:

-Kulit yang kering
-Keradangan berlaku di kulit hasil daripada tindak balas immunologi atau sistem ketahanan badan
-Boleh dijangkiti bakteria, virus dan kulat
-Berlaku kepada pesakit yang mempunyai riwayat keluarga menghidap ekzema, resdung, asma dan penyakit alahan lain.

No comments: