Oleh: Dr Zulkifli Ismail, Consultant Paediatrician (dipetik dari Positive Parenting Magazine, Part 3,2006)
Adakah anak anda terbatuk-batuk atau tercungap-cungap untuk bernafas? Adakah bibirnya sudah menjadi biru? Jika lambat memulakan tindakan, walaupun hanya 4 minit, boleh menyebabkan kerosakan otak atau kematian. Oleh itu cuba bertenang dan bertindak pantas. Berikut diterangkan cara untuk mengeluarkan objek yang tersekat di kerongkong kanak-kanak.
Untuk Bayi
1. Pangku bayi di lengan anda dan letakkan di atas riba dengan kepalanya menghadap ke bawah. Gunakan pangkal tapak tangan anda untuk menepuk tulang belikat bayi dengan perlahan.
2. Periksa mulut bayi untuk melihat sama ada objek dapat dikeluarkan.
3. Jika nampak benda berkenaan, cuba keluarkannya. Jika tidak ulangi langkah 1.
4. Jika bayi tidak sedarkan diri, dapatkan bantuan kecemasan dan mulakan resusitasi kardiopulmonari (CPR).
Untuk Kanak-kanak Kecil
1. Letakkannya di atas riba anda dengan kepalanya menghadap ke bawah. Tepuk antara tulang belikat.
2. Jika ini gagal, terbalikkan badan anak anda dan lakukan tujahan abdomen (abdominal thrusts) hanya jika anda sudah dilatih untuk berbuat demikian.
3. Jika tidak mulakan CPR dan hubungi ambulans.
Untuk Kanak-kanak yang sudah boleh berdiri
1. Tepuknya dengan tegap di bahagian antara tulang belikat.
2. Jika tidak berjaya berdiri di belakang si kecil dan peluk pinggangnya. Genggam tangan anda dan letakkannya di bwah tulang dada. Pautkan genggaman anda dengan tangan yang satu lagi dan dengan cepat, tariknya ke dalam sehingga objek berjaya dikeluarkan. Teknik ini dipanggil ‘Heimlich Manoeuvre’
3. Hubungi ambulans dan mulakan CPR sekiranya teknik di atas tidak berjaya.
AWAS! Jangan Sesekali menggunakan teknik ‘Heimlich Manoeuvre’ atau tujahan abdomen ke atas bayi kerana ia boleh merosakkan organ dalamannya.
Mengelakkan daripada tercekik
• Simpan barang-barang kecil seperti duit syiling, guli, belon yang hamper pecah, kekacang dan butang di tempat yang sukar diambil oleh kanak-kanak.
• Jangan biarkan kanak-kanak makan sambil berlari.
• Jangan biarkan kanak-kanak yang lebih tua menyuap makanan kepada adiknya tanpa pengawasan orang dewasa.
• Jangan beri buah anggur, gula-gula dan kekacang sebelum anak anda berumur sekurang-kurangnya 4 tahun.
• Jangan makan ubat di depan anak anda. Mereka mungkin meniru perbuatan anda.
RESIPI KEK PAUN OREN
10 months ago
No comments:
Post a Comment